Subscribe For Free Updates!

We'll not spam mate! We promise.

Sunday, 4 January 2015

Wira Tak Didendang

Unggas sedang menyanyikan irama rimba yang sungguh mendamaikan jiwa. Matahari sedang giat menyebarkan cahaya surianya  ke atas seluruh isi alam. Angin sedang bertiup  sepoi-sepoi bahasa. Semua isi alam seperti sedang meraikan sesuatu perayaan. Amat menggembirakan. Di dalam hutan yang penuh kepelbagaian biodiversiti, terdapat sebuah pondok kecil ditepi sebatang sungai. Pondok kecil itu diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah. Walaupun kecil tetapi pondok itu kelihatan kemas dan cantik. Disekililingnya, terdapat banyak tanaman sayur-sayuran seperti petola, kacang panjang, kacang kelisa, cili padi dan bermacam-macam lagi. Tidak ketinggalan ada juga reban ayam dan itik. Halaman rumah pondok itu kemas dan bersih.

  Tiba-tiba muncul Pak Muda,warga emas  yang hampir seabad umurnya  yang juga pemilik pondok yang kecil itu. Di dalam genggaman Pak Muda ada sedikit beras dan beberapa ekor ikan. Pak Muda pun berjalan dengan kakinya yang tempang dan matanya yang buta sebelah akibat kemalangan yang menimpanya 50 tahun dulu. Pak Muda memasuki ke rumahnya dan pergi satu penjuru dan terdapat sebuah dapur arang. Pak Muda memulakan aktiviti hariannya untuk memasak.

   Pak Muda telah dipinggirkan oleh orang kampung kerana tinggal berseorangan di dalam hutan.  Dia juga selalu diejek kerana kecacatannya. Pak Muda sering kali digelar orang gila kerana asyik menceritakan tentang kemerdekaan setiap masa. Tiada siapa yang ingin mendekati Pak Muda keranan stigma masyarakat sekeliling. Malahan orang kampung selalu ternampak Pak Muda bercakap dengan pokok dan binatang. Ini menambahkan lagi stigma negatif kepada Pak MUda.

“Pendek, mari sini makan. Aku lebih rela berkongsi makanan dengan kau daripada aku berkongsi makanan dengan manusia. Walaupun orang kata pengotor berkongsi makanan dengan binatang tetapi hakikatnya ia lebih bersih daripada berkongsi makanan dengan manusia hati yang pengotor.” Pak Muda memanggil kucing peliharaannya untuk makan. Aroma ikan goring tadi telah menarik perhatian kucing tadi. Nasi yang telah ditanak  telah dicampurkan dengan ikan yang telah digoreng dan Pak Muda membahagikan antara dua bahagian untuk dia dan kucingnya.

Bagi Pak Muda alam semula jadi adalah kawan. Jika kita banyak berinteraksi dengan mereka, hasil yang kita dapat akan lebih baik. Mereka juga punya perasaan seperti manusia, sedangkan dalam Islam pun mengatakan bahawa semua tumbuhan dan haiwan berzikir kepada Pencipta. Lihat sajalah hasil kebun Pak Muda, semuanya sihat-sihat belaka.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“ini tanah air kita! sampai bila kita ingin terus berada di dalam cengkaman penjajah. Cukuplah kita sudah kehilangan kerajaaan kesultanan Melayu Melaka kerana Portugis! Takkan kita mahu kehilangan tanah melayu, negara kita yang berdaulat kepada kerajaan British!” teriak seorang anak muda penuh lantang dan bersemangat waja.

Ucapannya mendapat tepukan gemuruh daripada orang-orang kampung yang hadir ketika itu. Keadaan ketika itu memang padat dengan kehadiran seluruh pelusuk kampung sama ada dari kawasan terdekat atau kampung seberang. Kedai kopi Mak Jah memang sibuk sangat ketika itu. Kaum wanita tidak melepaskan peluang untuk mendengar ucapan yang penuh semangat itu.

Tiba-tiba ada satu suara yang mencelah.

“tapi Encik Muda, mampukah kita memerintah kerajaan sendiri? Selama ini pun kita memang memerlukan bantuan british dalam setiap hal pentadbiran. Dengan kemasukan imigran dari China dan India saya rasa takut kita tak mampu nak mentadbir negara. Mungkin selepas kita membentuk Malayan Union, orang-orang melayu akan diberikan hak sama rata seperti menaiktarafkan pendidikan sekolah Melayu dan memberi peluang kepada orang Melayu untuk berniaga di bandar-bandar seperti oleh orang Cina” balas seorang pemuda  di tengah-tengah orang ramai seperti ingin mematahkah hujah Encik muda. 

Suasana menjadi hening seketika.

“saudara yang  dihormati, saya hormat akan pandangan saudara tapi saudara kena ingat. Sudah berapa lama mereka mentadbir negara kita. Ada mereka menaiktarafkan pendidikan peribumi? Tidakkan? Malahan kita orang  Melayu ramai yang miskin dan terpaksa hidup di kampung. Mereka hanya menggunakan tipu helah. Lihatlah bagaimana mereka menipu pemimpin-pemimpin Melayu ketika Perjanjian Pangkor. Mereka berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran raja-raja kita. Mereka kaut keuntungan disini dan bawa balik ke negara mereka. Kita apa yang ada? Hanya abu sahaja. Kita mampu menubuhkan negara bangsa kita sendiri. Tiada apa yang mustahil jika mampu dan percaya akan kekuatan diri” Encik Muda  menjawab persoalan pemuda tadi dengan penuh yakin dan bernas. Sebaik sahaja Encik Muda habis menjawab. Orang kampung terus teriak menyokong encik muda.

“hidup Melayu!”

‘hapuskan Malayan union!”

“Encik Muda kami ingin ikut rombongan ke Kuala Lumpur untuk menentang Malayan Union!”
Dalam masa yang singkat sahaja ramai anak-anak muda, kaum bapa, kaum ibu menyatakan hasrat untuk ikut ke Kuala Lumpur untuk menentang majlis menandatangani pengistiharaan Malayan Union. Encik Muda tersenyum puas sambil matanya bergenang kerana kagum dengan semangat kecintaan mereka terhadapa tanah air yang tercinta. Bagi Encik Muda dia tidak mahu lagi ada lagi golongan Si Kitol dalam kalangan rakyat Tanah Melayu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pak Muda tersenyum seorang diri. Dia bersandar di daun pintu. Matanya tak lekang melihat kucingnya Si Pendek berlari di halaman rumah sambil mengejar belalang. Sesekali Pak Muda tersenyum hingga ternampak giginya. Mungkin Pak Muda sedang mengimbas kembali zaman kegemilangannya.

“itu aku ketika muda, Encik Muda sekarang dah tua. Dah jadi Pak Muda. Pak Muda yang sedang menghabiskan sisa umur hidupnya di sini. Kudrat aku tidak segah dulu. Tiada apa yang aku dapat sumbangkan kepada tanah air aku lagi. Biarlah kali ini aku menyumbangkan kudrat empat kerat aku kepada tanah peninggalan orang tua pula” Pak Muda seakan bermonolog.


Masih jelas dia dalam ingatannya, suasana perhimpunan memenentang Malayan Union. Ketika  itu mereka semua berada dihadapan sebuah hotel. Hotel yang dikatakan tempat rundingan Malayan Union akan dijalankan. Pak Muda  antara ribuan yang hadir. Hadir dengan membawa satu harapan semoga akan beroleh kemenangan ketika pulang nanti. Ketika itu sorakan seluruh orang yang hadir bergema dan menaikan lagi semangat mereka. Ketika itu Pak tua menanti dengan penuh debaran. Tidak lama kemudian raja-raja melayu muncul dihadapan hotel.  Terdapat suara-suara yang Pak Muda dengar dari jauh tapi suara itu tenggelam dalam keriuhan orang ramai

“daulat Tuanku!”

“kami sayangkan negeri ini Tuanku”

“hapuskan Malayan Union”

Pak Muda ketika itu sudah kelihatan beremosi. Kerana dia sayangkan negara ini, bangsa ini dan agama ini. dia tak sanggup melihat cucunya terpaksa hidup dibawah telunjuk British. Tak lama kemudian Pak Muda mendengar  pengumuman penubuhan Malayan Union telah dibatalkan. Betapa gembiranya hati Pak Muda ketika itu. Orang ramai ketika itu meraikan kegembiraan ada yang membuat sujud syukur, ada yang menadah tangan tidak berhenti memuji illahi. Bagi Pak Muda misinya telah selesai dia harus pulang ke kampung untuk menyampaikan berita gembira ini kepada orang kampung.

Malang tidak berbau. Ketika Pak Muda ingin melintas jalan dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Mata kirinya telah tersusuk besi yang terpacak ditepi jalan. Pak Muda telah dikejarkan ke hospital. Pak Muda dalam keadaan parah. Setelah 3 bulan di hospital, Pak Muda telah kembali ke kampung. Kaki kanannya kini tempang, mata kirinya telah buta. Dia pulang ke kampung dan  disambut sebagai wira. Dalam jangka masa setahun, Pak Muda berhasrat dia ingin pulang ke kampung halaman ibunya yang agak jauh di utara tanah air. Ramai yang enggan melepaskan Pak Muda pergi tapi disebabkan mereka menghormati keputusan Pak Muda. Mereka semua merelakannya.

Pak Muda pun berhijrah ke kampung halaman ibunya. Disana dia ingin mengusahakan sendiri tanah ibunya. Dia tidak pernah meminta tolong sesiapa. Dia menggunakan kudrat tuanya mengusahakan kebunnya sendiri. Penduduk di sekitar situ tidak kenal siapa dia Pak Muda sebenarnya. Mereka hanya kenal Pak Muda hanya orang yang cacat kakinya dan buta matanya.
Pak muda memegang kaki tempangnnya yang tempang. Dia cuma tersenyum. Sambil memandang ke langit Pak Muda kemudian dia berkata.

“mungkin apa yang aku lakukan ini mungkin sedikit sebagai pengorbanan aku terhadap tanah air ini. Aku bersyukur kerana aku telah memberikan bakti kepada tanah air aku. Tidak seperti orang lain yang sanggup menjual maruah negara dan menggadaikannya demi kepentingan sendiri. Merekalah Si Kitol pasca merdeka” luah Pak Muda seorang wira tak didendang.


Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →

0 comments:

Post a Comment