Unggas sedang menyanyikan irama rimba yang sungguh
mendamaikan jiwa. Matahari sedang giat menyebarkan cahaya surianya ke atas seluruh isi alam. Angin sedang
bertiup sepoi-sepoi bahasa. Semua isi
alam seperti sedang meraikan sesuatu perayaan. Amat menggembirakan. Di dalam
hutan yang penuh kepelbagaian biodiversiti, terdapat sebuah pondok kecil ditepi
sebatang sungai. Pondok kecil itu diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun
nipah. Walaupun kecil tetapi pondok itu kelihatan kemas dan cantik.
Disekililingnya, terdapat banyak tanaman sayur-sayuran seperti petola, kacang
panjang, kacang kelisa, cili padi dan bermacam-macam lagi. Tidak ketinggalan
ada juga reban ayam dan itik. Halaman rumah pondok itu kemas dan bersih.
Tiba-tiba muncul Pak Muda,warga emas
yang hampir seabad umurnya yang
juga pemilik pondok yang kecil itu. Di dalam genggaman Pak Muda ada sedikit
beras dan beberapa ekor ikan. Pak Muda pun berjalan dengan kakinya yang tempang
dan matanya yang buta sebelah akibat kemalangan yang menimpanya 50 tahun dulu.
Pak Muda memasuki ke rumahnya dan pergi satu penjuru dan terdapat sebuah dapur
arang. Pak Muda memulakan aktiviti hariannya untuk memasak.
Pak Muda telah
dipinggirkan oleh orang kampung kerana tinggal berseorangan di dalam
hutan. Dia juga selalu diejek kerana
kecacatannya. Pak Muda sering kali digelar orang gila kerana asyik menceritakan
tentang kemerdekaan setiap masa. Tiada siapa yang ingin mendekati Pak Muda
keranan stigma masyarakat sekeliling. Malahan orang kampung selalu ternampak
Pak Muda bercakap dengan pokok dan binatang. Ini menambahkan lagi stigma
negatif kepada Pak MUda.
“Pendek, mari sini makan. Aku
lebih rela berkongsi makanan dengan kau daripada aku berkongsi makanan dengan
manusia. Walaupun orang kata pengotor berkongsi makanan dengan binatang tetapi
hakikatnya ia lebih bersih daripada berkongsi makanan dengan manusia hati yang
pengotor.” Pak Muda memanggil kucing peliharaannya untuk makan. Aroma ikan
goring tadi telah menarik perhatian kucing tadi. Nasi yang telah ditanak telah dicampurkan dengan ikan yang telah
digoreng dan Pak Muda membahagikan antara dua bahagian untuk dia dan kucingnya.
Bagi Pak Muda alam semula jadi
adalah kawan. Jika kita banyak berinteraksi dengan mereka, hasil yang kita
dapat akan lebih baik. Mereka juga punya perasaan seperti manusia, sedangkan
dalam Islam pun mengatakan bahawa semua tumbuhan dan haiwan berzikir kepada
Pencipta. Lihat sajalah hasil kebun Pak Muda, semuanya sihat-sihat belaka.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“ini tanah air kita! sampai bila kita ingin terus berada di dalam
cengkaman penjajah. Cukuplah kita sudah kehilangan kerajaaan kesultanan Melayu
Melaka kerana Portugis! Takkan kita mahu kehilangan tanah melayu, negara kita yang
berdaulat kepada kerajaan British!” teriak seorang anak muda penuh lantang dan
bersemangat waja.
Ucapannya mendapat tepukan gemuruh daripada orang-orang kampung
yang hadir ketika itu. Keadaan ketika itu memang padat dengan kehadiran seluruh
pelusuk kampung sama ada dari kawasan terdekat atau kampung seberang. Kedai
kopi Mak Jah memang sibuk sangat ketika itu. Kaum wanita tidak melepaskan
peluang untuk mendengar ucapan yang penuh semangat itu.
Tiba-tiba ada satu
suara yang mencelah.
“tapi Encik Muda, mampukah kita memerintah kerajaan sendiri?
Selama ini pun kita memang memerlukan bantuan british dalam setiap hal
pentadbiran. Dengan kemasukan imigran dari China dan India saya rasa takut kita
tak mampu nak mentadbir negara. Mungkin selepas kita membentuk Malayan Union,
orang-orang melayu akan diberikan hak sama rata seperti menaiktarafkan
pendidikan sekolah Melayu dan memberi peluang kepada orang Melayu untuk
berniaga di bandar-bandar seperti oleh orang Cina” balas seorang pemuda di tengah-tengah orang ramai seperti ingin
mematahkah hujah Encik muda.
Suasana
menjadi hening seketika.
“saudara yang
dihormati, saya hormat akan pandangan saudara tapi saudara kena ingat.
Sudah berapa lama mereka mentadbir negara kita. Ada mereka menaiktarafkan
pendidikan peribumi? Tidakkan? Malahan kita orang Melayu ramai yang miskin dan terpaksa hidup
di kampung. Mereka hanya menggunakan tipu helah. Lihatlah bagaimana mereka
menipu pemimpin-pemimpin Melayu ketika Perjanjian Pangkor. Mereka berjaya
melumpuhkan sistem pentadbiran raja-raja kita. Mereka kaut keuntungan disini
dan bawa balik ke negara mereka. Kita apa yang ada? Hanya abu sahaja. Kita
mampu menubuhkan negara bangsa kita sendiri. Tiada apa yang mustahil jika mampu
dan percaya akan kekuatan diri” Encik Muda
menjawab persoalan pemuda tadi dengan penuh yakin dan bernas. Sebaik
sahaja Encik Muda habis menjawab. Orang kampung terus teriak menyokong encik
muda.
“hidup Melayu!”
‘hapuskan Malayan union!”
“Encik Muda kami ingin ikut rombongan ke Kuala Lumpur untuk
menentang Malayan Union!”
Dalam masa yang singkat sahaja ramai anak-anak muda, kaum
bapa, kaum ibu menyatakan hasrat untuk ikut ke Kuala Lumpur untuk menentang
majlis menandatangani pengistiharaan Malayan Union. Encik Muda tersenyum puas
sambil matanya bergenang kerana kagum dengan semangat kecintaan mereka
terhadapa tanah air yang tercinta. Bagi Encik Muda dia tidak mahu lagi ada lagi
golongan Si Kitol dalam kalangan rakyat Tanah Melayu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pak Muda tersenyum seorang diri. Dia bersandar di daun
pintu. Matanya tak lekang melihat kucingnya Si Pendek berlari di halaman rumah
sambil mengejar belalang. Sesekali Pak Muda tersenyum hingga ternampak giginya.
Mungkin Pak Muda sedang mengimbas kembali zaman kegemilangannya.
“itu aku ketika muda, Encik Muda sekarang dah tua. Dah jadi
Pak Muda. Pak Muda yang sedang menghabiskan sisa umur hidupnya di sini. Kudrat
aku tidak segah dulu. Tiada apa yang aku dapat sumbangkan kepada tanah air aku
lagi. Biarlah kali ini aku menyumbangkan kudrat empat kerat aku kepada tanah
peninggalan orang tua pula” Pak Muda seakan bermonolog.
Masih jelas dia dalam ingatannya, suasana perhimpunan
memenentang Malayan Union. Ketika itu mereka
semua berada dihadapan sebuah hotel. Hotel yang dikatakan tempat rundingan
Malayan Union akan dijalankan. Pak Muda antara ribuan yang hadir. Hadir dengan membawa
satu harapan semoga akan beroleh kemenangan ketika pulang nanti. Ketika itu sorakan
seluruh orang yang hadir bergema dan menaikan lagi semangat mereka. Ketika itu
Pak tua menanti dengan penuh debaran. Tidak lama kemudian raja-raja melayu muncul
dihadapan hotel. Terdapat suara-suara
yang Pak Muda dengar dari jauh tapi suara itu tenggelam dalam keriuhan orang
ramai
“daulat Tuanku!”
“kami sayangkan negeri ini Tuanku”
“hapuskan Malayan Union”
Pak Muda ketika itu sudah kelihatan beremosi. Kerana dia
sayangkan negara ini, bangsa ini dan agama ini. dia tak sanggup melihat cucunya
terpaksa hidup dibawah telunjuk British. Tak lama kemudian Pak Muda mendengar pengumuman penubuhan Malayan Union telah
dibatalkan. Betapa gembiranya hati Pak Muda ketika itu. Orang ramai ketika itu meraikan
kegembiraan ada yang membuat sujud syukur, ada yang menadah tangan tidak
berhenti memuji illahi. Bagi Pak Muda misinya telah selesai dia harus pulang ke
kampung untuk menyampaikan berita gembira ini kepada orang kampung.
Malang tidak berbau. Ketika Pak Muda ingin melintas jalan
dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Mata kirinya telah tersusuk besi yang
terpacak ditepi jalan. Pak Muda telah dikejarkan ke hospital. Pak Muda dalam
keadaan parah. Setelah 3 bulan di hospital, Pak Muda telah kembali ke kampung.
Kaki kanannya kini tempang, mata kirinya telah buta. Dia pulang ke kampung dan disambut sebagai wira. Dalam jangka masa
setahun, Pak Muda berhasrat dia ingin pulang ke kampung halaman ibunya yang
agak jauh di utara tanah air. Ramai yang enggan melepaskan Pak Muda pergi tapi
disebabkan mereka menghormati keputusan Pak Muda. Mereka semua merelakannya.
Pak Muda pun berhijrah ke kampung halaman ibunya. Disana dia
ingin mengusahakan sendiri tanah ibunya. Dia tidak pernah meminta tolong
sesiapa. Dia menggunakan kudrat tuanya mengusahakan kebunnya sendiri. Penduduk
di sekitar situ tidak kenal siapa dia Pak Muda sebenarnya. Mereka hanya kenal
Pak Muda hanya orang yang cacat kakinya dan buta matanya.
Pak muda memegang kaki tempangnnya yang tempang. Dia cuma
tersenyum. Sambil memandang ke langit Pak Muda kemudian dia berkata.
“mungkin apa yang aku lakukan ini mungkin sedikit sebagai
pengorbanan aku terhadap tanah air ini. Aku bersyukur kerana aku telah
memberikan bakti kepada tanah air aku. Tidak seperti orang lain yang sanggup
menjual maruah negara dan menggadaikannya demi kepentingan sendiri. Merekalah Si
Kitol pasca merdeka” luah Pak Muda seorang wira tak didendang.