Subscribe For Free Updates!

We'll not spam mate! We promise.

Monday, 23 March 2015

Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sedikit latar belakang Ulama dan Pemimpin tersohor Malaysia, Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (10 Januari 1931 – 12 Februari 2015) merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Kehidupan Peribadi

Dilahirkan pada hari Sabtu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau MelakaKota Bharu, beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Tuan Sabariah binti Tuan Ishak, mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Tuan Guru Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau merupakan seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih dikenali dengan gelaran 'Tuan Guru' atau 'Tok Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Ketika masih sihat, beliau aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam solat subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya.

Pendidikan

Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari bapanya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar diMesir. Ketika belajar, beliau pernah menjadi saksi kepada Perang Arab-Israel (memerlukan rujukan)
Beliau juga pernah belajar di:
Beliau juga mampu berkomunikasi selain Bahasa Melayu seperti bahasa ArabUrduInggeris dan Tamil.
                                                               Nik Abdul Azuz Nik Mat
Kerjaya Politik
Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, kini beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan. Pada pilihan raya ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.
Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut.[ Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.
Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai seorang Menteri Besar selepas pilihan raya yang terbaru ini. Penggantinya itu akan dipilih melalui satu proses undian sulit. Namun jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.
Beliau dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya Ariffahmi sebagai CEO PMBK, tetapi beliau menyatakan perlantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. Ariffahmi akhirnya meletak jawatan.

Kesihatan

Beliau mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik. Pada akhir tahun 2004, beliau dimasukkan ke hospital setelah mendapat serangan sakit jantung. Pada tahun 2007, beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana keletihan.
Beliau sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu sejak akhir-akhir ini. Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Saya akui pada zahirnya, tubuh saya ada mengalami masalah berkaitan jantung tetapi pemikiran saya masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan.

Mereka Perlu Bincang Dulu : Kabinet

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi pada Jumaat meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengkaji semula kenaikan harga tambang pengangkutan awam seperti yang diumumkan pengerusinya semalam.

Menurut satu kenyataan pada Jumaat, Aziz berkata kajian semula itu perlu memandangkan kenaikan sebanyak 20 hingga 67 peratus itu dilihat sebagai terlalu mendadak.

"Saya memandang serius perkara ini, dan berharap ia dikaji semula memandangkan kenaikan sebanyak 20 hingga 67 peratus itu adalah tinggi," kata beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Katanya SPAD seharusnya mengadakan perbincangan bersama dengan Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terlebih dahulu bagi mendapat keputusan yang terbaik.

Selain itu, beliau juga merasakan bahawa SPAD perlu mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan kenaikan itu tidak membebankan pengguna.

"Namun saya faham dengan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengangkutan awam dan pemilik teksi, bagaimanapun pihak kerajaan perlu untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang tersebut," kata Aziz.

Kata beliau lagi, garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan juga perlu, supaya kadarnya mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar pada Khamis mengumumkan penetapan kadar baharu bagi perkhidmatan teksi akan berkuatkuasa serta-merta manakala bagi bas ekspres pula bermula pada 15 Mei ini.

Menurut Syed Hamid, penetapan kadar baharu itu berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.


Saya Mohon Maaf : Aiyah Tajuddin

Kuala Lumpur: “Saya benar-benar kesal dan memohon maaf,” itu luahan hati penyampai radio BFM, Aisyah Tajuddin yang tampil buat pertama kali selepas dikecam orang ramai apabila video bertajuk ‘Hudud Isi Periuk Nasi’ menjadi viral.
Katanya, dia tiada niat untuk mengherdik dan menghina agama dan kini sedar tindakannya telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Saya benar-benar kesal dan memohon maaf. Saya tidak akan pernah, dalam apa-apa keadaan sekalipun, menghina atau mengutuk agama apatah lagi agama saya sendiri,” dalam satu kenyataan di sini, petang ini.
Menurutnya, objektif sebenar video itu diterbitkan adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan PAS Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam.
“€œIa mengenai politik, perkataan, perbuatan ahli politik dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama.
“Bagaimanapun, saya mendapati liputan media berkenaan insiden ini telah mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan iaitu menggalakkan perbincangan mengenai isu keadaan sosio-ekonomi rakyat Kelantan”, katanya.
Aisyah berkata, sejak video itu tersebar, pelbagai ancaman bunuh dan rogol ditujukan kepadanya termasuk keluarga, rakan sekerja dan rakan lain.
“Ia sangat mendukacitakan. Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini adalah pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu.
“€œNamun, saya juga mendapat dokongan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk rakan dan insan yang tidak saya kenali. Untuk itu, saya sangat bersyukur”€ katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38783#sthash.TzzUZyH6.dpuf

PF: Guna otak sebelum bertindak

Black bengang anak kena kutuk

Kuala Lumpur: “Saya anggap (penghinaan) itu adalah cara dia untuk menarik perhatian ramai. Tak apalah sebab jenis manusia begini mungkin hanya ada satu dalam 1,000 orang saja.”
Demikian luahan penyanyi Black yang terkilan dengan kebiadapan seorang penunut wanita universiti awam (UA) kerana menyamakan wajah anak lelakinya, Khaleef Dayyan dengan seekor beruk di media sosial.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 28, berkata, perbuatan wanita berkenaan mengeluarkan kata-kata penghinaan itu adalah tindakan terdesak untuk meraih perhatian umum dengan cara yang salah dan tidak beretika.
“Saya tak sangka dalam zaman serba maju begini masih ada segelintir manusia yang berfikiran kolot dan mempunyai hasad dengki dengan orang lain. Anak saya itu dilahirkan sempurna jadi tak elok dia bercakap begitu.

“Bila dia cakap begitu pada anak saya sama seperti dia menghina ciptaan Tuhan. Tapi saya percaya spesis macam dia (wanita itu) tidak banyak yang wujud lagi sebab majoriti manusia hari ini berhati baik dan positif,” katanya.

Black memberikan respons itu susulan komen negatif seorang siswi universiti tempatan menyamakan wajah anak lelakinya yang berusia dua bulan dengan rupa beruk berdasarkan sekeping gambar mereka sekeluarga yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini.

Menerusi komen itu, difahamkan wanita berkenaan mengajukan pertanyaan berbaur sindiran yang keliru sama ada anak itu adalah anak manusia atau anak seekor beruk.
Bagaimanapun, keceluparan wanita itu ditempelak oleh lebih 100,000 pengikut penyanyi itu dalam medium sama.

Ia adalah insiden pertama berlaku pada Black membabitkan keluarganya menerusi media sosial sejak anaknya dilahirkan pada 13 Januari lalu.
Anak sulung itu adalah hasil perkongsian hidup Black dengan isterinya Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira.

Black berkata, dia sedia maklum dan terbuka untuk menerima kritikan serta komen pengikut media sosial terhadap golongan selebriti namun setiap kenyataan itu perlu mempunyai batas.
“Saya sedar dan tak boleh tutup mulut orang untuk bercakap atau komen apa saja kerana saya seorang selebriti. Mereka (peminat) berhak untuk mengikuti perkembangan saya termasuk hal peribadi tapi janganlah melampau.

“Saya tak marah cuma ralat dengan provokasi yang ditimbulkan perempuan itu. Baik pada anak saya atau anak sesiapa pun, perkataan sedemikian tak sepatutnya keluar, bukan?” katanya.
Tambahnya, dia juga berharap tindakannya yang jarang berkongsi gambar anaknya di media sosial tidak disalah ertikan kononnya mahu menyembunyikan bayi itu daripada tatapan umum.
“Bagi saya tak perlu nak dedah anak terlalu banyak di media sosial sebab ia tak bagus untuk dia nanti. Bukannya tak kongsi langsung tapi sikit-sikit saja.

“Biarlah dia alami sendiri pengalaman dengan media sosial ini bila dia besar nanti. Tak perlulah ibu bapa dia pula nak beria-ia buatkan akaun sosial itu sekarang sebab terlalu awal,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38748#sthash.CFtZVlW7.dpuf


PF: Bersabarlah Black dalam dunia mana ada manusia yang sempurna

Sunday, 22 March 2015

Permohonan Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaya

Selamat Petang.

 Mulai sesi 2015/2016 kemasukkan pelajar ijazah sarjana muda adalah dibawah autonomi sepenuhnya Universiti Malaya. No more UPU okayyy.

Jadi adik-adik yang ingin masuk ke Universiti Malaya boleh la memohon ke link tertera
permohonan ke Universiti Malaya.

Permohonan ini terbuka kepada semua pelajar warganegara Malaysia lepasan STPM, Matrikulasi/Asasi, STAM dan Diploma/Setaraf

Pemohonan secara aplikasi atas talian akan dibuka mulai 19 Januari 2015 Jam 12.00 tengahari melalui portal myUM.

Klik link nii
ONLINE APPLICATION UM

TIADA CAJ DIKENAKAN UNTUK PERMOHONAN

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: 6 APRIL 2015

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi:

Seksyen Kemasukkan dan Rekod
Bahagian Akademik
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur

Talian kemasukkan
03-7967 3440/3441/3502/3448/3279

No faksimili: 03-7967 3449

Emel: skr@um.edu.my




Saturday, 21 March 2015

Puisi Tengah Jalan: Rasuk

Rasuk,
Manusia dirasuk,
Hilang akal pertimbalan,
Setiap pejuru hati telah dikunci,
Sukar ditembusi,
Rasuk,
Kenapa manusia?
Wahai api kenapa?
Adakah ini janji mu pada Rabb ku?
Akan mendatangi dari segenap arah,
Menyesatkan hati yang telah lama sesat.
Rasuk,
Cukup,
Jangan cuba menghasut,
Sudah banyak kasut tambah ribut

Puisi Tengah Jalan: Itu Semua Dulu

Dulu dia gagah,
Tinggi dan berguna,
Dari hujung daun,
hingga ke akar,
Tapi bila tiba masa tua,
Tiada guna lagi,
berbicara si dia merayu
kepada si penebang,
Dulu aku muda,
air aku jadi penawar,
ah itu dulu!
bentak si penebang,
Dulu isi buahku jadi
kudapan anak-anakmu,
ah itu dulu,
Dulu aku jadi tempat berteduh
panas terik,
Tidakkah kau ingat wahai manusia?
ah itu dulu,
Gigi kapak pun hinggap
ke batang si pokok,
sikit demi sedikit,
Tanpa rasa kasihan
lahap kapak memakan batang
si pokok,
akhirnya rebah pokok ke tanah,
Rebah dahulunya gagah,
tiada lagi suara meminta,
senyap,
Kaku,
Diam,
Lenyap dari pandangan manusia,
Betul cakap si penebang,
Itu semua dulu,

Puisi Tengah Jalan: Kena Jaga

Ada banyak mata,
Kena jaga-jaga,
Ada banyak mata,
Takut pekung terbuka didada,
Ada banyak mata,
Sudah tidak banyak masa,
Untuk kita rasa selesa,

Tuesday, 3 February 2015

Ruangan Bersiri : Kasih (bahagian 1)

Jika kanda sayangkan dinda,
Mengapa harus berkelana,
Mengapa dibiar hati yang berpaut padamu
menderita,
Kanda sama saja sperti lelaki lain,

Kini fikirannya buntu. Buntu memikir isi kandungan surat yang diterimanya. Surat itu bukan daripada siapa-siapa. Surat itu daripada kekasih yang dia telah menabur janji setia semati bersama. Perempuan yang telah yang sepenuh hati menghadiahkan kasih dan cinta untuk arjunanya.

Sulaiman masih bingung. Antara cinta dan maruah diri. Kalau ikutkan mahu saja dia membawa lari Khatijah daripada kampung tersebut. Dek memikirkan ibunya yang uzur. Dia mematikan hajatnya.
Dia masih waras. Dia tidak mahu ibunya menanggung kesan noda yang dia akan tinggalkan. Sedar diri Sulaiman siapa. Tidak berbapa. Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia ibarat ulat yang berangan menjadi raja naga. Ia ulat. Ulat tetap ulat. Jadi manakan pula tiba-tiba dapat bertukar menjadi naga. Hidup menumpang di tanah orang. Tapi ada hati ingin mengahwini Khatijah anak juragan besar di Kampung Siguntang.

"Sulaiman, apa yang kamu menungkan nak?" ibunya menegur setelah melihat tingkah lakunya anaknya yang hanya terpekin di depan pintu sejak dari tadi.

"Tiada apa-apa ibu" Sulaiman cuba untuk menyorokkan kesedihannya.

"Tiada apa yang kamu boleh sorokkan daripada ibu. Ibu yang membesarkan kamu. Ibu yang melahirkan kamu. Ibu arif benar dengar sikap kamu"

"Betul ibu. Tiada apa-apa" Sulaiman berdalih.

"Khatijah bukan?"

Sulaiman terkedu. Matanya memandang ibunya. Dia tidak menyangka yang ibunya tahu benar akan walang yang menimpa isi hatinya. Sulaiman hanya tersenyum kelat. Riak wajahnya masih menunjukkan rasa kecewa.

Ibu mendekati Sulaiman sambil mengusap manja rambut anak lelakinya itu.

"Man, Hidup ini bukan seindah yang kita sangka. Kadang-kadang kita terpaksa menerima sesuatu perkara yang memang ditakdirkan bukan untuk kita" Ibu berbicara lembut.

''Jadi ibu mahu bilang yang Khatijah bukan untuk Man?"

----bersambung------

XPDC Menjejak Warisan Sejarah

InsyaAllah dalam bulan ini. Penulis akan membawa pembaca menyelusuri warisan sejarah Larut (yang kini dikenali sebagai Matang).

XPDC ini hanya akan melibatkan penulis seorang sahaja. Penulis mengambil inisiatif ini supaya dapat dijadikan rujukan untuk pembaca semua.

Pembaca akan menyelusuri beberapa tempat di Matang yang sememangnya terkenal dengan nilai sejarah.

Tunggu!

Ruang Pojok Daus Jordan: Suatu Pilihan

"Pena ku mengalirkan melakarkan,
gerbang kesayuan masa silam"

bait-bait lirik lagu ni selalu bermain di ruang fikiran tatkala jari cuba bermain di atas pad kekunci.
Jari-jemari terus menari meluahkan apa yang aku cuba sampaikan. Perasaan sayang, marah. sedih, gembira. Puas aku luahkan. Tapi tidak aku lupakan luahkan di atas tikar sejadah. Bersimpuh dan merendahkan diri kepadaNya. Mencari jawapan kepada soalan yang belum pasti.


Kehidupan ini sesungguhnya ada rona-rona yang menghiasi. Bukan sekadar hitam dan putih. Tidak pula kita mengharapkan kehidupan seperti drama-drama dalam televisyen. Kehidupan aku punya rona sendiri. Seperti kalian, mungkin ada warna sendiri. Hidup biar penuh realistik. Jangan terlalu leka disogokkan dengan realiti fantasi drama-drama televisyen.




Ketika jari rancak menari menaip. Terlampau banyak cerita yang aku ingin simpulkan. Ia lah sudah 21 tahun menghirup nafas dunia. Bohong jika bicara, langsung tidak ada cerita. Tapi ada satu persoalan yang aku ingin sampaikan, FIKIRAN

Seperti yang kita tahu manusia punya akal fikiran. Akal fikiran yang memberikan kita peluang kepada kita untuk membuat pilihan. Bagi aku kehidupan itu satu pilihan. Kita terpaksa memilih. Mahu baik atau jahat? Mahu buruk atau cantik?

Itu musababnya mengapa diwujudkan syurga dan neraka. Pahala dan dosa. Kita diberi akal untuk membuat pilihanaku masih bingung dengan perilaku manusia yang lagi kejam daripada daripada binatang. Bukankah mereka juga manusia yang diberi akal fikiran? ke mana perginya akal?

Dan aku seperti manusia lain. Menyingkap cerita demi cerita untuk menemukan kebenaran. Aku ingin berfikir. Tidak mahu terima mentah-mentah. Aku pernah mendengar pandangan daripada seorang yang sangat liberal hingga kepada seorang sangat konservatif. Mereka punya prisnsip tersendiri, mereka punya akal tersendiri.

Masing-masing ada cerita sendiri. Aku tidak boleh memaksa mereka untuk menerima novel versi ciptaan aku.

Sunday, 1 February 2015

Sekitar Pertunangan

Januari 2015, Keluarga Megat Jaafar Megat Ahmad (Pak menakan) menyaksikan anak perempuan sulung mereka, Puteri Farhana Megat Jaafar (Sepupu) mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Bob (Panggilan Mesra).


Si kumbang bersama Bunga yang ingin dipetik

Berdasarkan gambar dua-dua sama cantik sama padan. Bak kata orang tua ibarat pinang dibelah dua dan ibarat cincin dengan permata. Saling lengkap melengkapi. Orang putih cakap "just nice".


Bersama rakan-rakan rapat

Bagi penulis. Perasaan sedih, gembira semua bercampur. Gembira sebab dapat melihat antara sepupu yang paling rapat telah pun melangsungkan tali pertunangan. Fasa awal sebelum melangkah ke gerbang alam perkahwinan. Sedih pula sebab tak dapat sama-sama hadir menghadiri majlis mereka sebab masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Jika tiada aral yang melintang, hari perkahwinan mereka penulis akan datang. Sekarang ni nak tunggu adik-adik perempuan penulis pulak. Haish mesti jenuh kan? hahahaha

Maaflah sebab penulis belum ada pengalaman menerima orang baru.

Besar harapan penulis untuk melihat mereka bahagia sehingga ke anak cucu. Penulis pula rasa macam dah tua. Sebab sepupu yang sebaya pun dah bertunang. Kita ni bila lagi. Tapi takpa calon dah ada (hehehe). Cuma belum sampai seru. Katanya!

Sebelum berundur, sebelum jari berhenti menaip ada satu pantun khas:

Rotan diraut dibuat raga,
raga di jual di pekan Nyonya
Dua hati pengikat jiwa,
semoga ke cucu bahagia hendaknya

Sunday, 25 January 2015

Puisi Tengah Jalan: Macai oh Macai

Macai oh macai
Cucuk hidung
Ikut bontot

Macai oh macai
sampai bila nak kena
cacai

Macai oh macai
Cuma angguk
Cuma geleng

Macai oh macai
Setiap masa
jilat saja

Macai oh macai

Puisi tengah Jalan: Sangkar Emas

Aku dalam sangkar emas,
Makan dalam pinggan perak,
Bajuku pula daripada sutera,

Semua nampak indah,

Tapi dalam hati?

Memberontak,

Sudah penat jadi tatapan,
Sudah penat jadi suruhan,

Apa kata biar aku bebas pula.

Puisi Tengah Jalan: Aku punya

Semua orang nak kena jaga
Nak kena tengok
Nak kena tatang

Penat

Sedangkan yang kita punya?
lusuh
busuk
kotor

Aduhai
Siapa nak jaga yang aku pnya?

Friday, 23 January 2015

Puisi Tengah Jalan: Ini Cara Aku

Ini cara aku,
cara aku menyampaikan
kehidupan aku,

Ini cara aku,
aku tidak meniru,
dan tidak menagih simpati,

Ini cara aku,
menjilidkan kehidupan aku,

Ini cara aku,
mendefinisikan apa yang aku rasa,

Ini cara aku,
tidak mahu terlingkup
dalam ruang rasa yang sama,

Ini cara aku,
dan mungkin cara kita berbeza,

Puisi Tengah Jalan: Jilat

Jilat jangan tak jilat,
Nanti kau putih mata,
Kau yang tak dapat,

Jilat jangan tak jilat,
Kalau kau tak jilat,
Kau yang dapat musibat.

Puisi tengah Jalan: Pondan

Nyah kau isi neraka!
Engkau pondan!
Engkau bapok!

Sudah lali dengan frasa basi ini,
telinga acap kali alah mendengar,
mulut sudah penat berbalah,

Biar orang nak kata,
mulut tempayan boleh ditutup,
mulut manusia?

Adakah kalian berdoa golongan ini
menjadi isi neraka?
apakah kalian yang menetapkan
neraka pahala syurga dosa?

Aku berani kata kerana
aku bukan pondan!

Puisi Tengah Jalan: Kelam

Dalam kelam aku mencari kepastian,
tangan meraba-raba dalam kegelapan,

Berjalan terhuyung hayang mencari arah,
sudah keliru yang kiri dan mana kanan,

Yang pasti memang pekat dan kelam,
telinga bising berdesing kerana terlalu sepi,

dada rasa lemas kerana terlalu gelap,
mata sudah buta walaupun belum masa,

tiba-tiba,

Ternampak satu cahaya kecil,
Kabur,
Jauh,

Aku pasti itu jalan keluar,
walaupun belum pasti,

Ya itu jalan keluar,
hati kecil aku berkata,

Harap itu jalan keluar,
Aku tak terperangkap dalam
dunia kelam dan gelap

Puisi Tengah Jalan: Maafkan Kami Nenda

Maafkan kami Nenda,
Memang salah kami,
Kami terlampau mengejar wang & harta,
Sehingga terlupa siapa kami sebenarnya,

Kami lupa akar umbi yang menunjangi kami,
Kami lupa langit yang dijunjung,
Kerana kami alpa mengagungkan
matahari yang mustahil menjadi
milik kami,

Nilai bangsa kami semakin terhakis,
malah kian parah jadinya,
kami akui agama hanya menjadi
alasan kami loloskan diri,

Maafkan kami Nenda,
Bukan salah Nenda,
Salah kami anak cucu yang tidak
mengenang budi,

Nenda jangan khuatir,
Masih ada anak cucu yang
yang masih prihatin dengan nasib
anak bangsa,

Nenda,
Ampun dan maaf jika tanah ini tercela,
Maafkan kami nenda,

Puisi Tengah Jalan: Nenda

Cu, Mengapa jadi begini?
Nenda harapkan Cu jaga negeri ini,
Jangan berpecah,
kelak padah jadinya,

Mengapa dimainkan sentimen warna kulit,
Cukuplah kejadian 13 Mei Nenda rasa,
Nenda tak mahu Cu hidup dalam sengketa,

Cu, Nenda sedih
Mengenangkan apa yang terjadi
kepada Cu,
Nilai harga diri bangsa kian terhakis,
Agama pula diperkotak katikan,
Nilai agama hanya untuk menghalalkan
apa yang haram,

Cu, ingat pesan Nenda,
Jaga tanah ini seperti mana
Nenda dan sahabat Nenda yang lain
pertahankan,
Jangan biarkan tangan jahanam merobek
nilai warisan bangsa tanah ini,
Jangan terlampau assabiah dengan warna kulit,

Ingat pesan Nenda ya Cu

Puisi Tengah Jalan: Semalam, Hari ini & Esok

Semalam adalah sejarah,
Sejarah yang menunjukkan 
Siapa diri kita,
Sejarah tidak akan dilupakan
Sejarah merakam peristiwa lalu
Tidak kira peristiwa
kelat untuk ditelan
ataupun manis untuk dirasa

Hari ini adalah anugerah,
Kerana masih diberi
ruang untuk bernafas,
Masih boleh belajar 
mengenai tingkah laku 
manusia yang tidak boleh dijangka,
Masih boleh menjadi saksi segala kerakusan
dan kebinasaan yang tercipta,

Esok adalah satu misteri,
Adakah esok aku masih mampu
lagi menaip seperti ini,
Mungkin aku sudah dijemput pergi,
Mana kita tahu bukan,
Segala yang ghaib dan misteri adalah
dalam pengetahuan Dia,

Semalam, Hari ini dan Esok

Thursday, 22 January 2015

Puisi Tengah Jalan: equality

Salahkah aku
menjadi imam?

-Salah!
Kau gila?

Salahkah aku
menjadi tukang azan?

-Salah!
Kau gila?

Kenapa salah?
Kenapa gila?
Bukan kita ada kebebasan bersuara?

-Memang salah
memang gila.

Sebab kau wanita!

Puisi tengah Jalan: Wahai Gadis Muda, Biar PakCik Bercerita

Wahai gadis muda,
Biar pak cik bercerita,
Kau punya nilai
dan harga tidak terkira,

Wahai gadis muda,
Biar pak cik bercerita,
Jadilah seperti mutiara
di dalam balang kaca,
Cantik untuk untuk dipandang,
Sukar untuk disentuh,

Wahaii gadis muda,
Biar pak cik bercerita,
Jadilah engkau berlian 
di dalam timbunan kaca
Manakan dapat kaca memotong berlian

Wahai gadis muda,
Biar pak cik bercerita
Jangan biarkan maruahmu
mu diragut
Ingat pesan orang tua,
Mereka sudah pasti mahu kamu
di pintu syurga.

Wahai gadis muda,
Biar pak cik bercerita
Pak cik sudah tua,
akan meninggalkan dunia yang fana
Jagalah akhlak mu,
maruahmu,

Biar pak cik bercerita 
wahai gadis muda

Puisi Tengah Jalan: Complicated

Itu memang aku,
seorang yang banyak personaliti,
Tidak ramai boleh membaca,
Sifat dan perangai aku,

Itu memang aku,
Suka berahsia,
banyak menyimpan,
Tidak kepoh hal dalam kelambu,
untuk pengetahuan orang luar,

Itu memang aku,
Suka tinggalkan mesej tanpa petanda,
Biar orang lain sendiri mencari jawapan,

Itu memang aku,
Hal peribadi tidak dicerita,
Kerana itu hak aku,
Sama mahu cerita atau tidak

Jika ada yang berkata:
"Daus kau ni COMPLICATED la"

Ya!
Itu memang aku

Puisi Tengah Jalan: 27 Hari Menanti

Hari yang ke-27,
Aku dengar kau tiada,
Aku dengar kau telah dijemput,
Yang tinggal cuma coretan memori,
Memori yang tetap segar dalam ingatan,

Hari yang ke-27,
Sepanjang 26 hari,
Kau hilang,
Tiada senyum tawa,
Kosong.

Hari yang ke-27,
Kau bilang kau akan datang,
Kau bilang kembali kepada kami,
Kami tunggu dengar sabar,
Harap kau datang membawa tawa riang
dulu seperti,

Hari yang ke-27
Kau datang tapi bukan kau,
Kau wakilkan dengan sehelai kertas,
Lama kami berperang dengan persoalan.
kenapa? kenapa? kenapa?

Hari yang ke-27
Kau bilang kau sudah tiada,
Kau tipu kami.
kau bohong!
Kau bilang kau akan datang.

Selepas hari yang ke-27
Kami berdiri di sebelah
batu yang terukir namamu,
cantik ukiran jawinya.
Kami datang melawat
sahabat yang telah pergi.
Kami tidak bawa buah tangan.

Cukuplah sekadar Al-Fatihah

Puisi Tengah Jalan: Kita Serupa

Aku perlukan pen,
Aku perlukan kertas,
Untuk aku berkarya,

Aku perlukan pen,
Aku perlukan kertas
Untuk aku ekspresi,
Apa yang aku rasa,

Kadang-kadang aku fikir,
Hidup ini macam yang kita duga,

Kadang-kadang aku fikir,
Adakah matahari sehingga senja,

Pernah sekali aku salahkan takdir,
Pernah sekali aku salahkan Dia,
Tapi cepat hati aku beristigfar,

Semua ini bukan salah Dia,
Salah kita hamba yang hina
Mencari Dia ketika duka,
Hilang ketika suka

Pernah kalian terfikir benda yang sama?
Pernah kalian menyalahkan takdir?

Jika begitu,
Kita serupa,

Kerana kita Manusia.

Tuesday, 13 January 2015

Gadis Melayu

Gadis melayu dulu 
Hiburannya mudah 
Suka mandi sungai 
Sambil basuh baju 
Seiring bergelak tawa 


Lalu datang si teruna 

Baru balik memburu 

Cepat-cepat sarung digapai 
Lalu gadis pun berlalu

Waktu berubah 
Gadis melayu kekal melayu 
Melayu pada nama 
Melayu pada keturunan 
Tapi hiburannya tak sama 
Budaya asing jadi pujaan 
Gaya luar jadi ikutan 
Lelaki yang tidak jantan jadi idaman 
Rela diusap dek terlalu taksub


Aku masih berharap 
Akan tetap berharap 
Melayu bukan pada nama 
Melayulah sekali pada santunnya 
Melayulah sekali pada malunya 
Tun Teja dikagumi kerana kecantikannya sebagai Melayu 
Tun Fatimah dikenang kerana kesetiaannya sebagai Melayu 
Kita juga bisa bukan? 
Menjadi idaman kerana berpegang utuh pada Melayu


Aku berdiri tegak, bangga melaungkan aku gadis Melayu.

Nukilan: Nor Fatihah Bt Manaf.

Puisi Tengah Jalan: Kenapa

Kenapa kau diam?
Kenapa kau kurang madah?
Kenapa kau berubah?

Kenapa? Kenapa?
Sudah penuh memenuhi atmosfera persoalan..

Jika aku silap..
Tolong betulkan..

Jika aku terlanjur..
Tolong maafkan..

Aku marhaen yang tidak pernah sempurna..
Aku marhean yang banyak cacat celanya..

Kalau kau ingin menjauh..
Tolong berikan sedikit jawapan..
Tidak aku termangu mencari kepastian..

Kejam kau dalam persahabatan..
hanya satu aku nak ucapkan..

TERIMA KASIH WAHAI KAWAN

Puisi tengah Jalan : Daus Jordan

Sakit..
Luka yang terjatuh..
Masih ada parutnya..

Sakit..
Aku jatuh lagi..
Parut lama ditambah luka baru..

Aku diam menahan sakit..
bukan bermakna aku mengalah..
bukan bermakna tidak sayang..
bukan bermakna aku benci..

Aku diam..
Kerana risau ada orang merisaukan..

Aduhai..

Kerana aku diam..
Banyak yang tersimpul makin terbelit..
Makin terbelit dan membelit-belit..
Mencengkam nafas..
menghimpit dada..
rasa lemas..

Terima kasih..
kepada sahabat yang ambil tahu..
kepada kawan yang ambil tahu..




Wednesday, 7 January 2015

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck : Antara Adat & Cinta


Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (EYD: Tenggelamnya Kapal Van der Wijck) adalah sebuah novel yang ditulis oleh Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenal dengan nama Hamka. Novel ini mengisahkan persoalan adat yang berlaku di Minangkabau dan perbedaan latar belakang sosial yang menghalangi hubungan cinta sepasang kekasih hingga berakhir dengan kematian.




Novel ini pertama kali ditulis oleh Hamka sebagai cerita bersambung dalam sebuah majalah yang dipimpinnya, Pedoman Masyarakat pada tahun 1938. Dalam novel ini, Hamka mengkritik beberapa tradisi yang dilakukan oleh masyarakat pada saat itu terutama mengenai kawin paksa. Kritikus sastra Indonesia Bakri Siregar menyebut Van der Wijck sebagai karya terbaik Hamka, meskipun pada tahun 1962 novel ini dituding sebagai plagiasi dari karya Jean-Baptiste Alphonse Karr berjudul Sous les Tilleuls (1832).Diterbitkan sebagai novel pada tahun 1939, 



Tenggelamnya Kapal Van der Wijck terus mengalami cetak ulang sampai saat sekarang. Novel ini juga diterbitkan dalam bahasa Melayu sejak tahun 1963 dan telah menjadi bahan bacaan wajib bagi siswa sekolah di Indonesia dan Malaysia.



Filem ini sangat bagus ditonton. Saya baru tahu kewujudan filem ini setelah diberitahu oleh kawan saya, saudara Aiman (Thanks bro! recommend movie ni!). Saya menyarankan sebelum menonton filem ini, cuba baca novelnya terlebih dahulu. Anda semua boleh melihat HAMKA mengupas isu-isu dengan cara yang tersendiri. Hands down!


"Merayakan Cinta, Membangkit Kesedaran Bangsa"






Sunday, 4 January 2015

Penerangan ringkas Biokimia di Universiti Malaya

Sekarang sudah masuk tahun baru 2015. Tidak lama pelajar-pelajar baru sesi 2015/2016 akan di ambil. Aku nak ucapkan semoga berjaya kepada adik-adik kolej matrikulasi, asasi dan STPM yang mungkin akan menghabis pengajian pra-universiti mereka dalam bulan April.

Kemudian akan mendaftar masuk ke universiti dalam bulan September. Mana-mana pelajar yang berjaya masuk ke Universiti Malaya, harap kita akan berjumpa di sini.


                                                  pintu gerbang gate Kuala Lumpur-UM

Pernah kamu semua dengar mengenai bidang Biokimia?

Ada yang pernah, ada yang I was like..?

Baiklah, biar aku perkenalkan diri aku. Aku ialah pelajar Sarjana Muda Sains Biokimia, tahun 2 Fakulti Sains.
                                                   Dataran Sains Fakulti Sains, UM

Di sini aku ingin terangkan dari A to Z mengenai Biokimia. Pertama sekali, pelajar-pelajar yang layak ke Universiti Malaya akan ditemuduga. Proses temuduga pertama kali dibuat untuk sesi 2013/2014. Aku adalah pelajar sesi terakhir (2012/2013)  yang diambil secara terus daripada UPU. Syarat am untuk melayakkan ke program ini adalah perlu mendapat CGPA sekurang-kurangnya 3.67 (itu 2 tahun dulu). Mungkin sekarang sudah dipinda, siapa tahu bukan. Untuk pengetahuan pembaca, program Sarjana Muda Sains Biokimia diletakkan di bawah Jabatan Insititut Sains Biologi.

Institut Sains Biologi, UM
Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biokimia , kita perlu menghabiskan sebanyak 124 jam kredit:

-23 jam kredit untuk subjek universiti

-101 jam kredit kursus teras program:

  • Kursus Teras Jabatan (82 jam kredit)
  • Kursus Elektif Jabatan (9 jam kredit)
  • Kursus Elektif Fakulti  (10 jam kredit)

Apa itu subjek universiti?

subjek universiti ialah subjek yang wajib diambil oleh semua pelajar Univeriti Malaya. Jika kegagalan berbuat demikian, mungkin ini akan memberikan kesan untuk bergraduasi. Maksudnya kalau tak ambil, tak boleh grad. Antara subjek universiti ialah bahasa inggeris (ikut band MUET), Tamadun Islam & Tamadun Asia (TITAS), Hubungan Etnik, Asas Pembudayaan Keusahawanan, Kemahiran Maklumat dan banyak lagi. Masuk UM nanti kamu semua akan tahu.


Apa itu Kursus Teras Jabatan (TJ)?

Kursus TJ merupakan subjek yang wajib diambil oleh pelajar-pelajar biokimia. TJ akan dibahagikan kepada 3 tahap iaitu tahap 1, tahap 2 dan tahap 3. Kesemua tahap ini mempunyai kesukaran yang berbeza. Antara subjek yang wajib diambil ialah toksikologi, neurokimia,enzimilogi dan banyak lagi.

Apa itu Kursus Elektif Jabatan (EJ)?

EJ merupakan komponen subjek yang pelajar boleh memilih subjek yang diminati dalam jabatan biokimia. Senarai subjek akan dikeluarkan dan pelajar hanya boleh memilih beberapa subjek untuk mencukupkan 9 jam kredit.

Apa itu Elektif Fakulti (EF)?

Pelajar boleh memilih mana-mana subjek program di luar jabatan biokimia. Contoh kalau minat fizik, kamu boleh ambil subjek fizik di jabatan fizik. Bagaimanapun,untuk pelajar biokimia kita diwajibkan untuk mengambil prinsip-prinsip kimia dan kimia organik. Subjek-subjek ini dibawah Jabatan Kimia.

Saya rasa mungkin itu sahaja pengenalan mengenai program Biokimia di Universiti Malaya. Nasihat saya sebagai pelajar Biokimia kepada adik-adik yang ingin menceburi bidang ini anda harus mempunyai minat yang tinggi. Program ini memerlukan kita bertumpu di dalam makmal dan pemikiran yang kreatif dan kritis. Apa-apa soalan mungkin boleh diajukan di komen bawah. Jumpa lagi.

Sekian terima kasih :)

Wira Tak Didendang

Unggas sedang menyanyikan irama rimba yang sungguh mendamaikan jiwa. Matahari sedang giat menyebarkan cahaya surianya  ke atas seluruh isi alam. Angin sedang bertiup  sepoi-sepoi bahasa. Semua isi alam seperti sedang meraikan sesuatu perayaan. Amat menggembirakan. Di dalam hutan yang penuh kepelbagaian biodiversiti, terdapat sebuah pondok kecil ditepi sebatang sungai. Pondok kecil itu diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah. Walaupun kecil tetapi pondok itu kelihatan kemas dan cantik. Disekililingnya, terdapat banyak tanaman sayur-sayuran seperti petola, kacang panjang, kacang kelisa, cili padi dan bermacam-macam lagi. Tidak ketinggalan ada juga reban ayam dan itik. Halaman rumah pondok itu kemas dan bersih.

  Tiba-tiba muncul Pak Muda,warga emas  yang hampir seabad umurnya  yang juga pemilik pondok yang kecil itu. Di dalam genggaman Pak Muda ada sedikit beras dan beberapa ekor ikan. Pak Muda pun berjalan dengan kakinya yang tempang dan matanya yang buta sebelah akibat kemalangan yang menimpanya 50 tahun dulu. Pak Muda memasuki ke rumahnya dan pergi satu penjuru dan terdapat sebuah dapur arang. Pak Muda memulakan aktiviti hariannya untuk memasak.

   Pak Muda telah dipinggirkan oleh orang kampung kerana tinggal berseorangan di dalam hutan.  Dia juga selalu diejek kerana kecacatannya. Pak Muda sering kali digelar orang gila kerana asyik menceritakan tentang kemerdekaan setiap masa. Tiada siapa yang ingin mendekati Pak Muda keranan stigma masyarakat sekeliling. Malahan orang kampung selalu ternampak Pak Muda bercakap dengan pokok dan binatang. Ini menambahkan lagi stigma negatif kepada Pak MUda.

“Pendek, mari sini makan. Aku lebih rela berkongsi makanan dengan kau daripada aku berkongsi makanan dengan manusia. Walaupun orang kata pengotor berkongsi makanan dengan binatang tetapi hakikatnya ia lebih bersih daripada berkongsi makanan dengan manusia hati yang pengotor.” Pak Muda memanggil kucing peliharaannya untuk makan. Aroma ikan goring tadi telah menarik perhatian kucing tadi. Nasi yang telah ditanak  telah dicampurkan dengan ikan yang telah digoreng dan Pak Muda membahagikan antara dua bahagian untuk dia dan kucingnya.

Bagi Pak Muda alam semula jadi adalah kawan. Jika kita banyak berinteraksi dengan mereka, hasil yang kita dapat akan lebih baik. Mereka juga punya perasaan seperti manusia, sedangkan dalam Islam pun mengatakan bahawa semua tumbuhan dan haiwan berzikir kepada Pencipta. Lihat sajalah hasil kebun Pak Muda, semuanya sihat-sihat belaka.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“ini tanah air kita! sampai bila kita ingin terus berada di dalam cengkaman penjajah. Cukuplah kita sudah kehilangan kerajaaan kesultanan Melayu Melaka kerana Portugis! Takkan kita mahu kehilangan tanah melayu, negara kita yang berdaulat kepada kerajaan British!” teriak seorang anak muda penuh lantang dan bersemangat waja.

Ucapannya mendapat tepukan gemuruh daripada orang-orang kampung yang hadir ketika itu. Keadaan ketika itu memang padat dengan kehadiran seluruh pelusuk kampung sama ada dari kawasan terdekat atau kampung seberang. Kedai kopi Mak Jah memang sibuk sangat ketika itu. Kaum wanita tidak melepaskan peluang untuk mendengar ucapan yang penuh semangat itu.

Tiba-tiba ada satu suara yang mencelah.

“tapi Encik Muda, mampukah kita memerintah kerajaan sendiri? Selama ini pun kita memang memerlukan bantuan british dalam setiap hal pentadbiran. Dengan kemasukan imigran dari China dan India saya rasa takut kita tak mampu nak mentadbir negara. Mungkin selepas kita membentuk Malayan Union, orang-orang melayu akan diberikan hak sama rata seperti menaiktarafkan pendidikan sekolah Melayu dan memberi peluang kepada orang Melayu untuk berniaga di bandar-bandar seperti oleh orang Cina” balas seorang pemuda  di tengah-tengah orang ramai seperti ingin mematahkah hujah Encik muda. 

Suasana menjadi hening seketika.

“saudara yang  dihormati, saya hormat akan pandangan saudara tapi saudara kena ingat. Sudah berapa lama mereka mentadbir negara kita. Ada mereka menaiktarafkan pendidikan peribumi? Tidakkan? Malahan kita orang  Melayu ramai yang miskin dan terpaksa hidup di kampung. Mereka hanya menggunakan tipu helah. Lihatlah bagaimana mereka menipu pemimpin-pemimpin Melayu ketika Perjanjian Pangkor. Mereka berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran raja-raja kita. Mereka kaut keuntungan disini dan bawa balik ke negara mereka. Kita apa yang ada? Hanya abu sahaja. Kita mampu menubuhkan negara bangsa kita sendiri. Tiada apa yang mustahil jika mampu dan percaya akan kekuatan diri” Encik Muda  menjawab persoalan pemuda tadi dengan penuh yakin dan bernas. Sebaik sahaja Encik Muda habis menjawab. Orang kampung terus teriak menyokong encik muda.

“hidup Melayu!”

‘hapuskan Malayan union!”

“Encik Muda kami ingin ikut rombongan ke Kuala Lumpur untuk menentang Malayan Union!”
Dalam masa yang singkat sahaja ramai anak-anak muda, kaum bapa, kaum ibu menyatakan hasrat untuk ikut ke Kuala Lumpur untuk menentang majlis menandatangani pengistiharaan Malayan Union. Encik Muda tersenyum puas sambil matanya bergenang kerana kagum dengan semangat kecintaan mereka terhadapa tanah air yang tercinta. Bagi Encik Muda dia tidak mahu lagi ada lagi golongan Si Kitol dalam kalangan rakyat Tanah Melayu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pak Muda tersenyum seorang diri. Dia bersandar di daun pintu. Matanya tak lekang melihat kucingnya Si Pendek berlari di halaman rumah sambil mengejar belalang. Sesekali Pak Muda tersenyum hingga ternampak giginya. Mungkin Pak Muda sedang mengimbas kembali zaman kegemilangannya.

“itu aku ketika muda, Encik Muda sekarang dah tua. Dah jadi Pak Muda. Pak Muda yang sedang menghabiskan sisa umur hidupnya di sini. Kudrat aku tidak segah dulu. Tiada apa yang aku dapat sumbangkan kepada tanah air aku lagi. Biarlah kali ini aku menyumbangkan kudrat empat kerat aku kepada tanah peninggalan orang tua pula” Pak Muda seakan bermonolog.


Masih jelas dia dalam ingatannya, suasana perhimpunan memenentang Malayan Union. Ketika  itu mereka semua berada dihadapan sebuah hotel. Hotel yang dikatakan tempat rundingan Malayan Union akan dijalankan. Pak Muda  antara ribuan yang hadir. Hadir dengan membawa satu harapan semoga akan beroleh kemenangan ketika pulang nanti. Ketika itu sorakan seluruh orang yang hadir bergema dan menaikan lagi semangat mereka. Ketika itu Pak tua menanti dengan penuh debaran. Tidak lama kemudian raja-raja melayu muncul dihadapan hotel.  Terdapat suara-suara yang Pak Muda dengar dari jauh tapi suara itu tenggelam dalam keriuhan orang ramai

“daulat Tuanku!”

“kami sayangkan negeri ini Tuanku”

“hapuskan Malayan Union”

Pak Muda ketika itu sudah kelihatan beremosi. Kerana dia sayangkan negara ini, bangsa ini dan agama ini. dia tak sanggup melihat cucunya terpaksa hidup dibawah telunjuk British. Tak lama kemudian Pak Muda mendengar  pengumuman penubuhan Malayan Union telah dibatalkan. Betapa gembiranya hati Pak Muda ketika itu. Orang ramai ketika itu meraikan kegembiraan ada yang membuat sujud syukur, ada yang menadah tangan tidak berhenti memuji illahi. Bagi Pak Muda misinya telah selesai dia harus pulang ke kampung untuk menyampaikan berita gembira ini kepada orang kampung.

Malang tidak berbau. Ketika Pak Muda ingin melintas jalan dia telah dilanggar oleh sebuah kereta. Mata kirinya telah tersusuk besi yang terpacak ditepi jalan. Pak Muda telah dikejarkan ke hospital. Pak Muda dalam keadaan parah. Setelah 3 bulan di hospital, Pak Muda telah kembali ke kampung. Kaki kanannya kini tempang, mata kirinya telah buta. Dia pulang ke kampung dan  disambut sebagai wira. Dalam jangka masa setahun, Pak Muda berhasrat dia ingin pulang ke kampung halaman ibunya yang agak jauh di utara tanah air. Ramai yang enggan melepaskan Pak Muda pergi tapi disebabkan mereka menghormati keputusan Pak Muda. Mereka semua merelakannya.

Pak Muda pun berhijrah ke kampung halaman ibunya. Disana dia ingin mengusahakan sendiri tanah ibunya. Dia tidak pernah meminta tolong sesiapa. Dia menggunakan kudrat tuanya mengusahakan kebunnya sendiri. Penduduk di sekitar situ tidak kenal siapa dia Pak Muda sebenarnya. Mereka hanya kenal Pak Muda hanya orang yang cacat kakinya dan buta matanya.
Pak muda memegang kaki tempangnnya yang tempang. Dia cuma tersenyum. Sambil memandang ke langit Pak Muda kemudian dia berkata.

“mungkin apa yang aku lakukan ini mungkin sedikit sebagai pengorbanan aku terhadap tanah air ini. Aku bersyukur kerana aku telah memberikan bakti kepada tanah air aku. Tidak seperti orang lain yang sanggup menjual maruah negara dan menggadaikannya demi kepentingan sendiri. Merekalah Si Kitol pasca merdeka” luah Pak Muda seorang wira tak didendang.


Rahsia: Kalau dah Jodoh

"Daus bila nak kahwin?"

Kadang-kadang aku tersenyum bila ada segelintir rakan-rakan rapat yang cuba bertanyakan soalan seperti ini. Mungkin setiap daripada kita akan selalu di usik dengan soalan sebegini jika usia sudah menginjak dewasa.

Jodoh merupakan satu rahsia Allah swt yang telah ditetapkan untuk kita. Sama juga seperti ajal, maut dan rezeki. Semua itu adalah rahsia. Aku tidak layak untuk menjawab rahsia-rahsia itu. Sebab aku bukan pemilik rahsia. Aku juga seperti kalian, ternanti-nanti siapa insan yang telah dirahsiakan untuk aku.

Aku sememangnya mahu perasaan cinta ini disalurkan ke arah yang benar. Kerana cinta ini adalah sesuatu yang suci. Kerana Allah swt adalah pencipta perasaan cinta ini. Dia yang mencampakkan perasan cinta ini. Jadi aku ingin menjaga perasaan cinta ini dengan menyalurkan dengan cara yang betul.

Kadang-kadang sedih apabila melihat anak-anak muda sekarang telah menyempitkan definisi cinta itu. Berpegangan tangan itu simboliknya cinta. Berkucupan itu melambangkan kasih sayang. Malahan, ada yang baru bertunang sudah berkelakuan seperti pasangan yang telah berkahwin. Terdapat juga segelintir yang berpendapat jika tidak melakukan persetubuhan sebelum berkahwin ibarat orang yang tertinggalan zaman.

Aduhai.. sedih..



Kembali kepada pencipta kita. Muhasabah diri kita. Adakah kita semakin menyimpang dan semakin jauh?

Renungkan. Jodoh kita pasti ada. Jika bukan di sini, mungkin disana. :)


Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk”


(surah isra' ayat 32)





Tragedi demi Tragedi : Penyatuan dalam Duka

Sebelum tahun 2014 melabuhkan tirainya. Pelbagai rentetan peristiwa telah berlaku antaranya kehilangan pesawat Malaysia Airllines (MAS), MH370 (yang masih misteri sehingga blog ini ditulis), tragedi pesawat MAS, MH17 yang telah ditembak jatuh dan telah menyebabkan semua  penumpang dan anak kapal terkorban. Dan baru-baru ini hampir keseluruhan wilayah Pantai Timur Malaysia lumpuh apabila bencana banjir paling dasyat telah melanda.

Walaupun berat untuk menerima segala kenyataan yang telah ditadirkan, tapi sebagai hamba Allah swt kita harus redha dengan segala perancangan yang telah ditetapkan.

Kita tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan-perasaan waris mangsa yang terlibat. Lagi bertambah sadis, mangsa yang tidak dijumpai badannya. Hilang entah ke mana. Pusaranya tidak bernesan, tidak bernama.

Dalam kita menempuh satu momen yang cukup sukar. Aku melihat rakyat Malaysia bersatu dalam menzahirkan rasa kedukaan. Di laman sosial seperti Twitter, Faceboook dan Instagram cukup menunjukkan sokongan tidak terhingga. Tragedi yang berlaku ini juga meraih simpati masyarakat dunia.

Kita tutup segala perbezaan yang ada. Kita kaburkan segala ideologi. Yang kita mahu adalah bahawa keluarga mangsa tahu yang kita selalu menyokong mereka.

Banjir yang menimpa negeri-negeri Pantai Timur telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia merupakan rakyat yang prihatin. Banyak pihak telah menyalurkan bantuan kepada mangsa tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bahasa.

Sikap beginilah yang kita mahu terapkan kepada semua rakyat Malaysia. Jangan terlampau lantang menyuarakan hasrat dan ideologi sehingga kita tidak sedar bahawa kita telah meretakkan sifat perpaduan.

Akhir kalam, mari kita renungkan sedikit:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Quran; Ali-Imran, 3: 103)

Dan tolong-menolonglah kalian dalam melaksanakan kebajikan dan takwa, dan jgn tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. (Quran, Al-Maidah, 5:2)


Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Quran; Al-Anfal, 8:1)

Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya. (Quran; Asy syura, 26:13)


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Quran, al-Hujurat, 49:10)